BONGKAR Kalau cinta sudah dibuang Jangan harap keadilan akan datang Kesedihan hanya tontonan..

Jumaat, 7 Ogos 2009

Tragedi Ogos 1 dan perjuangan jalan raya?

OGOS 7 —Ogos 1, 2009 akan terpahat selamanya di dalam lipatan sejarah moden negara bernama Malaysia. Kerana apa? Adakah disebabkan Konsert Penghargaan Search di Bukit Kiara? atau PC Fair di KL Convention Centre yang sentiasa menggamit ratusan ribu manusia? Jawapannya pasti tidak.

Tanggal Ogos 1, 2009 akan diingati apabila pihak polis telah diperkuda oleh parti pemerintah yakni Barisan Nasional melalui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menggagalkan dengan apa cara sekalipun suatu perhimpunan rakyat yang diberi nama Himpunan Mansuhkan ISA. Amaran demi amaran turut diberikan kepada kelompok pro kepada ISA yang motif sebenar kemunculan kumpulan ini pada saat-saat akhir sangat diragui. Malangnya pro ISA gagal untuk berhimpun atas sebab-sebab yang hanya mereka sahaja yang tahu.

Walhasilnya hari Sabtu, Ogos 1 di tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur terjadilah suasana kelam kabut, kacau bilau dan perlawanan di antara para peserta himpunan anti ISA dengan pihak polis yang bersenjata. Tembakan meriam air dan gas pemedih mata berlaku berulang-ulang kali di beberapa lokasi; Masjid Negara, Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, Jalan TAR, Jalan Raja Laut dan banyak lagi. Saya sendiri berkali-kali mengalami sesak nafas dan kepedihan mata demi untuk melihat aksi dengan lebih dekat bertujuan melihat dengan mata sendiri siapa yang ganas dan siapa yang tidak. Semasa di Jalan Dang Wangi berhadapan Kompleks Campbell, tembakan gas pemedih mata menuju tepat ke arah saya dan syukur hanya tangan yang terkena kelongsong gas, benjol sahaja.

Saya melihat strategi untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa para peserta himpunan yang majoritinya terdiri daripada ahli dan penyokong parti-parti dari PR selain aktivis NGO sebagai ganas dan menyusahkan tidak akan berjaya kerana skrip sama ini diulang-ulang sejak zaman reformasi 1998. Masih jelas di ingatan foto-foto ganas para “reformis” yang diragui identitinya diulang tayang di kaca televisyen dan media cetak untuk menakut-nakutkan rakyat semasa kempen pilihanraya umum 1999. Mungkin taktik itu berjaya sedikit sebanyak untuk menakutkan masyarakat bukan Melayu ketika itu.

Tahun pilihanraya 2004 taktik ini dikurangi kerana selera pengundi jelas memihak kepada PM Pak Lah ketika itu, maka tiada keperluan berbuat demikian. Namun begitu episod sama tidak berlaku pada Mac 2008 apabila visual perhimpunan Bersih dan Hindraf yang berlaku hujung tahun 2007 ditayang berulang kali untuk menakutkan rakyat. Tetapi hasilnya seperti yang sudah diketahui ialah BN kalah teruk. Jelas sekali bahawa majoriti rakyat sudah mulai membuat sedikit penyesuaian dan mulai menerima budaya berhimpun di dalam membuat penyataan hasrat selagi mana tiada keganasan terutama jika dimulai dari pihak demonstran. Hal sama berlaku di kota Jakarta apabila rakyatnya sudah mulai membiasakan diri dengan impak terkait siri pengeboman yang berlaku berulang kali. Tidak perlu panik sebaiknya mengadapatasi.

Saya berpendirian sangat mudah, sebarang perhimpunan atau demonstrasi tentang segala isu wajib dibenarkan and dibudayakan dengan sihat serta dikenakan syarat-syarat tertentu oleh pihak berkuasa seperti yang berlaku di negara barat dan yang terdekat, Indonesia. Tugas pihak keselamatan terutamanya polis sangat mudah, memberi izin dan kemudian mengerah sedikit anggota untuk mengawal perhimpunan supaya tidak melanggar syarat-syarat. Kedai-kedai yang kononnya mendakwa kerugian yang teramat boleh dibuka seperti biasa kerana peserta perhimpunan pastinya ingin membeli belah juga kerana mereka juga rakyat biasa yang ada kuasa membeli. Tidak perlu sekatan jalan yang tidak masuk akal, tembakan gas pemedih mata dan meriam air tidak tentu pasal dan berlari-lari menangkap peserta dan mengherdik orang ramai macam orang gila. Kalau polis aman, saya sangat percaya dan boleh memberi jaminan mulut bahawa segalanya akan aman dan semuanya gembira.

Banyak perhimpunan sebelum ini apabila polis tidak bertindak keterlaluan segalanya aman-aman sahaja. Memang pasukan polis kita tidak sezalim beberapa rakannya di luar sana, tetapi itu bukanlah kayu ukur yang harus diguna pakai orang yang berakal kecuali mungkin mereka yang totok bencikan perbezaan dan takut kehilangan “kuasa”.

Di sisi yang lain juga ada beberapa tabiat buruk yang harus dibetulkan di dalam benak kepala aktivis-aktivis pro himpunan di jalan raya. Saya secara peribadi kurang menggemari taktik turun ke jalan jikalau isu yang dibawa tidak besar dan penting dari segi keutamaan. Selagi mana ruang perbincangan untuk mencari penyelesaian boleh diguna pakai, mengapa perlu untuk menyusahkan ramai pihak di dalam keadaan pihak polis dan pemerintah yang masih keras di dalam hal ini. Strategi yang baik untuk segi jangka pendek dan panjang harus diberi keutamaan berbanding emosi semborono dan yang maha penting adalah perjuangan yang dibawa harus benar untuk rakyat bukannya rakyat yang menyokong sama ada PR atau BN sahaja . Jangan hanya melaung slogan “Hidup Rakyat” tanpa benar-benar jujur dan ikhlas dengan rakyat yang didakwa diwakilinya.

Ada pula yang berfikiran kurang seronok dan berkesan jikalau perhimpunan diadakan di dalam stadium seperti Himpunan Protes tahun lalu di Kelana Jaya kerana mendakwa mesej yang ingin diketengahkan tidak sampai kepada rakyat kerana ia diadakan di tempat tertutup. Lagi teruk apabila ada di kalangan aktivis pro jalan raya sejak era reformasi lagi gian untuk turun ke jalan bukan sekadar untuk menyatakan hasrat sahaja sebaliknya ingin bertempur dengan pihak polis. Ini juga masalah besar di kalangan demonstran yang jika dibiarkan tidak ditegur dan dikawal akan membahayakan majoriti yang pro aman dan lurus dalam niat mereka.

Saya tidak ingin melihat nanti apabila perhimpunan atau demonstrasi dianggap sebagai sesuatu yang biasa dan membosankan apabila tahap kekerapan yang berulang-ulang dan kesukaan untuk membesarkan isu-isu yang kecil dan kurang penting. Jika bertanya kepada penduduk di Indonesia, mereka menghargai ruang yang diberi untuk berekspresi tetapi tidak menolak pandangan yang mengatakan ruang yang diberi sering disalah guna dan akibatnya isu yang dibawa walaupun penting dilihat sepi oleh masyarakat.

Akhirnya apa jua mesej yang ingin disasarkan harus berasaskan strategi yang tepat dan mengikut senario semasa. Jangan sekadar syok sendiri turun ke jalan dan melaung slogan tetapi melupakan teras perjuangan dan hal-hal lain yang tidak kurang pentingnya. Malang sekali sebagai contoh jika mesej anti ISA yang dibawa dipandang sepi oleh rakyat kebanyakan. Namun saya percaya majoriti rakyat masih menyokong perjuangan anti akta zalim ISA yang dibawa kerana sepertinya scenario masih memihak kepada golongan yang dizalimi dan sering dihina setiap kali menonton televisyen dan membaca akhbar. Cuma satu pesan, lawan, jujur dan istiqamah dalam perjuangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Post a comment