BONGKAR Kalau cinta sudah dibuang Jangan harap keadilan akan datang Kesedihan hanya tontonan..

Khamis, 3 September 2009

Ketua SPRM dikecam kerana kenyataan 'bunuh diri'

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said Hamdan, dikecam ekoran kenyataannya berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa 42 anggota panel SPRM supaya mengadakan perjumpaan tergempar bagi menentukan sama ada Ahmad Said layak untuk menerajui suruhanjaya tersebut.

Atau, katanya, mereka harus mendesak supaya beliau dipecat.

"Ahmad Said telah memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang tiada belas kasihan dan tidak berperikemanusian berhubung kematian misteri Teoh yang pergi ke tingkat 14 ibupejabat SPRM (Selangor) pada 16 Julai untuk memberi kerjasama dalam siasatan badan itu, tetapi berakhir ditemui mati di tingkat lima," kata Lim dalam satu kenyataan.

Lim berang dengan komen ketua pesuruhjaya SPRM itu yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Ahmad Said memberitahu Sin Chew bahawa beliau dimaklumkan terdapat 10 kes mereka yang disiasat oleh Suruhanjaya Bebas Anti-Rasuah Hong Kong (ICAC) terjun dari bangunan tinggi, sejak penubuhan ICAC.

Tambahnya, tiada apa yang dapat beliau lakukan jika orang yang disiasat, tidak tahan dengan tekanan.

"Implikasi kenyataan Ahmad Said itu jelas sekali," kata Lim.

"Beliau menyalahkan kematian Teoh atas membunuh diri kerana tidak tahan dengan tekanan penyiasatan SPRM," katanya.

(Teoh merupakan saksi dalam siasatan SPRM yang membabitkan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor)

Sementara itu, Lim berkata, jika Ahmad Said tidak dapat membuktikan dakwaannya itu, maka beliau mesti memohon maaf kerana membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab untuk melepaskan SPRM daripada bertanggungjawab terhadap kematian Teoh.

"Ahmad Said perlu menjelaskan mengapa SPRM begitu tidak bertanggungjawab apabila mengemukakan dua teori mengenai kematian Teoh - bahawa dia membunuh diri atau dia dibunuh oleh orang lain, selain daripada SPRM," tambahnya.

Mengenai 42 anggota panel SPRM, Lim berkata, mereka tidak boleh terus bersikap tidak ambil peduli terhadap 'pengkhianatan' objektif berkanun SPRM untuk mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap rasuah, seperti yang dikehendaki oleh parlimen.

"Pada masa ini, SPRM sebaliknya melancarkan perang habis-habisan terhadap Pakatan, sebagai alat kepada Umno/Barisan dalam konspirasi untuk menumbangkan kerajaan negeri Selangor," tambahnya.

NUJ kesal jurufoto ditangkap dan dikasari

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) kesal dengan tindakan polis yang didakwa memukul jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, Stanley Tan, sewaktu menangkapnya pagi tadi.

Stanley ditugaskan untuk membuat liputan usaha ADUN Pakatan Rakyat untuk masuk ke bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) Perak, untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam satu kenyataan hari ini, majlis eksekutif NUJ berkata Stanley hanya menjalankan tugas profesionalnya sebagai seorang jurugambar.

"Anggota polis yang dikatakan memukul Stanley Tan harus tahu bahawa jurugambar itu memakai kad pengenalan media," kata Presiden NUJ, Norila Daud.

Katanya, tindakan kekerasan oleh anggota polis yang menangkap Stanley "mencerminkan dia tidak langsung menghormati undang-undang".

"NUJ juga tahu bahawa pihak polis berada di situ untuk menjaga undang-undang, tetapi jurugambar itu bukan sebahagian daripada pihak yang mencetuskan masalah di situ," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, NUJ menggesa pihak polis supaya tidak melakukan kekerasan ketika menjalankan tugas mereka, terutama apabila pihak media juga perlu menjalankan tugas mereka.

Stanley adalah antara tujuh orang yang ditangkap polis pagi tadi.

Tiga daripada mereka adalah ADUN Pakatan Rakyat - Datuk Ngeh Koo Ham (Setiawan), Keshvinder Singh (Malim Nawar) dan Chang Ming Kai (Simpang Pulai). Tiga lagi yang itangkap ialah orang awam.

Sidang di hotel: Ganesan dan Hee 'dihukum penjara'

Sidang DUN Perak yang dipanggil oleh Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar mengesahkan keputusan jawatankuasa hak dan kebebasan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM500,000 ke atas Speaker BN, Datuk R Ganesan and ADUN Bebas pro-BN, Hee Yit Foong.

Laporan jawatankuasa tersebut yang dilantik oleh kerajaan negeri Pakatan tahun lalu, dibentangkan dalam sidang DUN hari ini yang berlangsung di Hotel Heritage Ipoh, selepas polis menghalang mereka masuk ke bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) Perak pagi tadi.
.
Perbahasan hangat berlangsung mengenai tindakan Ganesan mengengkari perintah Sivakumar supaya keluar dari dewan dalam persidangan pada 7 Mei lalu.

Wakil Pakatan berkata, Ganesan, yang bukan ADUN, juga dilihat duduk di meja BN. Pemimpin MIC itu kemudiannya 'dipilih' sebagai speaker dalam suasana yang penuh kontroversi.

Satu lagi ialah tindakan Ganesan yang mengarahkan anggota polis supaya mengalih Sivakumar dari kerusi speaker.

Hee pula dihukum kerana mengambil alih peranan Sivakumar sebagai speaker dan membenarkan wakil rakyat BN mengundi memilih Ganesan sebagai speaker baru.

Selepas laporan jawatankuasa itu disahkan oleh dewan, Sivakumar berkata beliau akan mengarahkan polis untuk mengambil tindakan berdasarkan laporan tersebut.

Pada mulanya, Sivakumar dan ADUN Pakatan cuba mengadakan persidangan di dewan DUN yang terletak di dalam bangunan SUK.

Bagaimanapun, polis mengawal ketat bangunan tersebut dan menghalang mereka masuk. Selepas setengah jam bertegang urat dengan polis, Sivakumar dan ADUN Pakatan beralih ke Hotel Heritage.

Di hotel tersebut, Sivakumar duduk di kerusi yang ditinggikan manakala setiausaha dewan yang dilantik Pakatan, Misbahul Munir Masduki duduk di bawah di depannya.

Hotel tersebut digunakan berdasarkan kepada doktrin keperluan, kata Sivakumar.

Manakala tempat duduk ADUN yang lain disusun dalam bentuk ladam kuda, dengan wakil rakyat Pakatan duduk di sebelah kanan speaker (untuk ADUN kerajaan negeri yang memerintah), manakala kerusi untuk pembangkang kosong.

Empat lagi ADUN Pakatan tidak kelihatan - tiga ditangkap pagi tadi dan seorang lagi sedang mengerjakan umrah.

Tiada tempat duduk disediakan untuk mereka yang diisytiharkan oleh Sivakumar telah meletak jawatan atau digantung semasa 'sidang bawah pokok' 3 Mac lalu.

Mereka yang diisytiharkan oleh Sivakumar telah menyerahkan surat letak jawatan tanpa tarikh adalah tiga ADUN Bebas yang menyokong BN - Hee (Jelapang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang).

Manakala mereka yang digantung sewaktu sidang 'bawah pokok' lalu ialah Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Pangkor), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Ramly Zahari (Manong), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Saarani Mohamad (Kota Tampan), Mohammad Zahir Abdul Khalid (Kamunting) and Mah Hang Soon (Chenderiang).

Jawatankuasa DUN dilantik semula

Sementara itu, sidang di hotel itu juga menyaksikan pelantikan semula tiga jawatankuasa DUN - Hak dan Kebebasan, Kira-kira Awam dan Peraturan Tutup.

Berikutan itu, perbahasan menjadi panas berhubung usul tergempar mengecam tindakan polis yang didakwa menjadi “alat BN' untuk menghalang ADUN Pakatan daripada melaksanakan tugas mereka pagi tadi.

Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) memberi amaran bahawa kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Sivakumar berkata DUN masih kekal menggesa Sultan membubarkan DUN, seperti usul yang diluluskan dalam sidang 'bawah pokok'.

"Memandangkan dewan masih belum dibubarkan, maka kita terpaksa mengadakan sidang hari ini,” katanya.

Mengikut perlembagaan Perak, DUN mesti bersidang setiap enam bulan. Walaupun ia tidak menyatakan apa yang akan berlaku jika DUN tidak bersidang mengikut tempoh tersebut, tetapi pakar-pakar perundangan percaya ia boleh membawa kepada pembubaran dewan secara automatik.

Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pula menggesa polis supaya menghormati DUN dan menjalankan arahan speaker supaya mereka yang 'dihukum' ditangkap.

"Jika mereka tidak mengambil tindakan tersebut, ia di luar bidangkuasa kita,” katanya, sambil menambah bahawa sebaik sahaja minit persidangan diwartakan, ia akan dikemukakan kepada istana.

Nizar bertegas bahawa sidang pada 7 Mei lalu tidak berlaku dan semua keputusan yang dibuat adalah tidak sah kerana ia tidak mematuhi prosedur yang betul.