Pengarah Komunikasi PKR, Jonson Chong menyeru pemimpin parti komponen Barisan Nasional supaya membentangkan usul dalam mesyuarat majlis Tertinggi BN akan datang bagi mendesak pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak sebagai cara terbaik merungkai kemelut politik negeri itu.
Beliau menyambut baik kenyataan Setiausaha Agung Gerakan dan Timbalan Presiden MCA yang mencerminkan kehendak rakyat supaya DUN Perak dibubarkan tetapi kenyataan mereka hanya berbentuk peribadi dan bukan pendirian parti.
"Adakah pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional mempunyai pendirian moral untuk menyuarakan sikap rasmi parti mereka walaupun ia mungkin berlawanan dengan dasar Perdana Menteri atau Umno?
"Pada masa yang sama bagaimana pula dengan pendirian presiden Gerakan? Adakah beliau mampu membuat pendirian rasmi partinya.
"Persoalan yang timbul adalah parti-parti komponen BN dianggap sama taraf atau mereka hanya rakan kongsi biasa yang terpaksa tunduk kepada rakan kongsi kanan iaitu Umno," tanya Chong.
Chong berharap semua pemimpin BN akan bersikap telus kepada rakyat dan mendesak pucuk pimpinan BN supaya membubarkan DUN Perak.