BONGKAR Kalau cinta sudah dibuang Jangan harap keadilan akan datang Kesedihan hanya tontonan..

Sabtu, 2 Mei 2009

PENANTI - Mansor yakin menang..Malaysiakini

Calon PKR di Penanti yakin Umno akan meletakkan calonnya di kerusi DUN tersebut dalam pilihanraya kecil yang akan berlangsung hujung bulan ini.

kerusi dun penanti pulau pinang 200409Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, Mansor Othman berkata Umno malah akan memilih seorang calon yang berwibawa untuk menyukarkan laluannya.

"Bukan gaya Umno tidak bertanding, bukan budaya parti tersebut. Parti itu akan meletakkan calon walaupun ia mendakwa underdog (tidak mudah menang)," katanya.

"Umno sedang menggunakan (taktik) permainan psikologi dengan meletakkan kita (PKR) calon pilihan.

"Kita tidak boleh sambil lewa, terbawa-bawa atau tertipu dengan perang psikologi (Umno) ini. Kita mesti bersatu, berkempen bersungguh-sungguh dan menemui semua pengundi bagi memastikan kemenangan."

Ditanya peluang beliau memenangi pilihanraya kecil ini yang bermula 23 Mei ini, Mansor meletakkan "harapannya 60 peratus".

"Bukan kerana (saya) sombong atau terlalu yakin. Ia kerana Penanti berada dalam kawasan Permatang Pauh - kubu (penasihat PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).

"Beliau mempunyai sokongan kuat di kalangan pengundi Penanti," katanya lagi.

'Negro lemak': 300 penduduk flat di Kepong hampir merusuh

GOMBAK - Perasaan meluat terhadap warga Afrika yang mula membanjiri lima blok Flat Desa Aman Puri 1, Kepong dekat sini, sampai kemuncaknya malam kelmarin apabila sekumpulan 30 rakyat asing itu diserang kira-kira 300 penduduk di situ.

Kejadian ala rusuhan tercetus hanya disebabkan merebut saluran televisyen (TV) antara warga Afrika yang berada di sebuah kedai makan di bawah flat tersebut dengan sekumpulan penduduk tempatan.

Pergaduhan itu berlarutan ke kawasan letak kereta yang terletak kira-kira 50 meter dari kedai makan.

Jurucakap polis berkata, insiden itu bermula pada pukul 9.30 malam dan TV di kedai itu pada mulanya menyiarkan siaran langsung perlawanan Liga Inggeris antara Chelsea dan West Ham yang disaksikan oleh kira-kira 30 rakyat Afrika.

Sejurus itu, muncul sekumpulan 30 penduduk yang singgah di kedai itu dan mahu menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Selangor.

"Penduduk itu telah meminta kebenaran pemilik kedai supaya menukar saluran TV tersebut," kata beliau.

Bagaimanapun, jurucakap polis itu memberitahu, tindakan itu telah menimbulkan kemarahan warga Afrika yang tidak mahu saluran TV ditukar.

Dalam masa sama, kumpulan penduduk itu juga didakwa terus berkeras memaksa pemilik kedai tersebut menukar saluran TV.

Tindakan dua kumpulan yang enggan menyerah kalah itu telah membawa kepada pertengkaran mulut sebelum kira-kira 300 penduduk di situ mengerumuni kedai tersebut.


TV di kedai makan yang menjadi punca warga Afrika dan sekumpulan penduduk bergaduh.

Demo bantah kabinet isu agama anak

Pemuda PAS hari ini menganjurkan perhimpunan ringkas membantah keputusan kabinet berhubung pengekalan agama asal anak walaupun ibu atau bapanya telah memeluk Islam.

Dengan plakad putih bertulisan "tarik balik", lebih kurang 100 penyokong parti itu berkumpul kira-kira 15 minit selepas solat Jumaat di perkarangan masjid Kampung Baru.

Dalam ucapan ringkasnya, ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad menyifatkan keputusan kabinet itu tidak dibuat mengikut saluran yang betul.

"(Oleh itu) kita berikan tekanan kepada kabinet supaya tarik balik keputusan ini," katanya.

Selain dihalang polis, mereka juga memberhentikan dengan segera demonstrasi kecil itu selepas pentadbiran masjid menegur penganjur yang dianggap "tidak menghormati" satu majlis di pusat ibadat itu.

Selain Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, perhimpunan itu turut dianjurkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS pusat. Klik video di sini.

Dalam satu kenyataan awalnya, Kamaruzaman menganggap keputusan kabinet pada 23 April sebagai "paling biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong, mufti, Parlimen dan juga sistem kehakiman negara."

"Sesungguhnya kabinet sedar bahawa mereka hanyalah berkuasa dalam sudut eksekutif bukannya legistatif dan kehakiman.

"Maka tidak selayaknya mereka mengeluarkan keputusan dan arahan melangkaui bidang kuasa mereka terutamanya dalam isu yang membabitkan soal agama," katanya.

Keputusan jemaah menteri itu pernah dibantah oleh beberapa NGO Islam, termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Selain keputusan membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya, kabinet juga memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.

Langkah itu selaras dengan pendirian jemaah menteri bahawa enakmen syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.

Keputusan terbaru kabinet itu berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban, atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah, dengan bekas isterinya M Indira Ghandi.

Lelaki itu menukar agama tiga anak mereka sejak penghujung tahun lepas.