Walaupun telah mendengar penjelasan perdana menteri, keluarga Teoh Beng Hock tetap menuntut sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian mendiang.
"Kami tetap dengan pendirian meminta sebuah suruhanjaya yang bebas dan adil untuk menyiasat punca kematian abang saya," kata adik perempuannya Teoh Lee Lan.
Lee Lan menceritakan hasil pertemuannya dengan Datuk Seri Najib Razak di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya yang dilaporkan selama setengah jam awal malam tadi.
Ditemui pemberita selepas inkues hari pertama di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini, kenyataan ringkas Lee Lan dalam bahasa Cina itu diterjemahkan pemimpin popular DAP Lim Kit Siang.
"Mereka telah dengar penjelasan kenapa suruhanraya diraja tidak ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Teoh, tetapi hanya melibatkan teknik siastan SPRM.
"Keluarganya berkata, mereka mempertimbangkan penjelasan perdana menteri, bagaimanapun mereka tetap dengan pendirian supaya suruhanjaya diraja mesti ditubuhkan (bagi menyiasat punca kematian Beng Hock)," kata ahli parlimen Ipoh Timur.
Pada pertemuan itu, Najib sekali lagi dilaporkan menyampaikan takziah kepada bapa mendiang Teoh Leong Hwee, emaknya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan juga tunangnya Soh Cher Wei.
Kit Siang menggesa Najib dan kabinetnya menghormati hasrat keluarga si mati supaya inkues ditangguhkan dan diwujudkan suruhanya diraja untuk mencari punca kematian Beng Hock.
Menurut tokoh DAP itu lagi, dapatan inkues "tidak dapat dipertahankan dan tidak boleh diterima" kerana ia tidak menjadi amalan di negara-negara Komanwel dan di peringkat antarabangsa.
Semalam, Najib dilaporkan menjelaskan kepada keluarga Teoh bahawa suruhanjaya diraja dan inkues merupakan pendekatan serentak bagi mengenal pasti punca kematian Beng Hock.
Najib berkata, pendekatan itu akan dapat memastikan sama ada mana-mana aspek atau tindakan yang diambil, mungkin ada kaitan atau menyebabkan kejadian itu.
Katanya, hasil penemuan siasatan itu akan dianggap sebagai input kepada suruhanjaya diraja itu.
Sementara itu, sejak jam 7 pagi, kompleks Mahkamah Shah Alam di Seksyen 5 mula dibanjiri puluhan wartawan.
Selain kehadiran pemimpin Pakatan Rakyat dan saksi-saksi inkues, tiada kelibat penyokong Pakatan Rakyat kelihatan.
Cuma kelihatan seorang lelaki Cina memegang poster gambar Beng Hock di lobi kompleks tersebut.
Kehadiran seramai 77 orang saksi menyebabkan bilik menunggu untuk saksi, berdekatan tempat prosiding berjalan, sesak sehingga menyebabkan sebahagian mereka terpaksa menunggu di bangku luarnya.
Suasana di tempat tersebut sesak apabila jurugambar dan juruvideo berasak-asak bagi mendapatkan gambar mereka dalam posisi yang terbaik.





