BONGKAR Kalau cinta sudah dibuang Jangan harap keadilan akan datang Kesedihan hanya tontonan..

Ahad, 3 Mei 2009

Sivakumar Guna Kuasa Speaker Benarkan Semua Media Buat Liputan Sidang 7 Mei

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak mengeluarkan arahan membenarkan semua media membuat liputan sidang DUN yang dijangka berlangsung mulai 7 depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini V. Sivakumar berkata mana-mana media yang telah dihalang untuk masuk DUN diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Permohonan boleh dibuat mulai 9.00 pagi pada 4 Mei 2009.

Arahan beliau meliputi semua media cetak dan elektronik. 

"Saya membuat ketetapan bahawa semua pihak media dibenarkan masuk untuk membuat liputan persidangan Dewan Negeri Perak pada 7 Mei 2009. 

"Semua media termasuk  Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya. Di sini, saya menggunakan Perintah-perintah 84 yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengeluarkan kebenaran am kepada wakil mana-mana jurnal menghadiri persidangan dewan . 

"Perintah-perintah tetap ini juga membolehkan Yang Dipertua Dewan untuk membatalkan kebenaran yang diberi. Arahan ini dikeluarkan untuk menjamin prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media. 

"Rakyat harus mengetahui apakah yang berlaku dalam persidangan secara telus. Tidak ada sebab untuk menghalang mana-mana media untuk membuat liputan. Rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri wakil rakyat mereka di dalam Dewan Undangan Negeri," tegas beliau.

Najib perlu bebaskan Manoharan untuk elak malu lebih besar

Jika M Manoharan mengambil keputusan untuk melompat parti dan menyertai MIC atau Gerakan, besarkan kemungkinan beliau telah lama dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting. Beliau juga mungkin lebih bebas untuk memberi khidmat penuh kepada rakyat. Soal Akta Keselamatan Dalam Negeri zalim dan menzalimi beliau mungkin tidak timbul sama sekali.

Jika Manoharan, wakil rakyat sah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Kota Alam Shah keluar DAP dan menyertai BN, beliau sudah tentu dipulaukan oleh kawan seperjuangannya dalam Hindraf dan DAP.

Bagaimanapun beliau memilih untuk kekal dalam perjuangan Pakatan Rakyat dan DAP. Maka terpaksalah beliau terus meringkuk dalam Kem Tahanan Kamunting. Akibatnya, hasrat beliau untuk menjadi seorang wakil rakyat yang berkesan tidak kesampaian. Isterinya Pushpaneela dan beberapa penyokong DAP dan Pakatan Rakyat terpaksa membantu Manoharan menguruskan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Namun kesabaran ada hadnya. Perjuangan pun ada batasnya. Meninggalkan tanggungjawab untuk digalas oleh isteri dan kawan-kawan cukup membebankan bagi Manoharan.

Lantas beliau berkira-kira untuk meletak jawatan. Jika diterima peletakan jawatan itu, pilihanraya kecil mesti diadakan. Ini akan memberi peluang rakyat dalam DUN Kota Alam Shah untuk memilih wakil rakyat baru. Seorang wakil rakyat yang bebas dari penjara politik seperti Kem Kamunting mungkin boleh memberi khidmat yang lebih baik. Dan Puan Pushpaneela boleh menghela nafas lega. Beliau mungkin boleh melawat suaminya di Kamunting lebih kerap lagi.

Pucuk pimpinan DAP mungkin tidak bersetuju dengan keputusan Manoharan ini. Mereka berpendapat apabila bertanding dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu, Manoharan memang sudah ditahan menurut ISA sejak 31 Disember 2007. Beliau dikatakan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam kerana menjadi penasihat HINDRAF dan terbabit dalam tunjuk perasaan besar-besaran memperjuangkan nasib rakyat keturunan India di negara ini pada November 2007.

Lantaran itu DAP berpendapat rakyat Kota Alam Shah memang tahu akibatnya memilih Manoharan sebagai wakil rakyat. Lantas, isu 12,699 pengundi merungut kerana tidak mendapat khidmat penuh Manoharan tidak timbul. Undi mereka adalah lambang protes terhadap ISA yang zalim. Maka DAP tidak mahu Manoharan letak jawatan.

Namun Manoharan masih menimbangkan kemungkinan melepaskan jawatan ADUN yang dipikulnya. Pada 19 Mei ini beliau akan menerima lawatan Pengerusi DAP, Karpal Singh di Kamunting. Ketika itu Manoharan mahu berbincang mengenai masa depannya sebagai wakil rakyat Kota Alam Shah.

Apapun natijah tindakan Manoharan ini cukup memberi tekanan kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak dan sekutunya. Jika Manoharan letak jawatan, pilihanraya kecil perlu diadakan. Dalam soal ini, Najib berpendapat pilihanraya kecil yang bukan merupakan ”kerja tuhan” kerana wakilnya letak jawatan dan bukan kerana kematian atau keuzuran, adalah membuang masa, tenaga dan sumber kewangan.

Lantaran itu, awal-awal lagi Najib sudah mengumumkan pendiriannya untuk tidak mahu UMNO dan BN mengambil bahagian dalam pilihanraya kecil seperti itu. Kenyataan itu dibuat semasa berhadapan dengan kemungkinan pilihanraya kecil di Penanti, Pulau Pinang. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kini telahpun menetapkan penamaan calon pada 23 Mei tarikh pembuangan undi pada 31 Mei untuk kerusi Penanti.

Persoalannya ialah apakah sikap Najib kali ini bila berhadapan dengan kes Manoharan? Manoharan bukan suka-suka letak jawatan. Beliau lebih mengutamakan rakyat. Apa guna beliau menjadi wakil rakyat jika tidak boleh berkhidmat untuk rakyat?

Yang boleh membetulkan keadaan ialah Najib sendiri. Bila beliau mengangkat sumpah awal bulan lepas, beliau membebaskan tiga belas tahanan ISA, termasuk anggota Hindraf. Bagi Najib tindakan itu adalah gambaran halatuju dan caragaya kepemimpinannya – lebih terbuka dan adil. Bagaimanapun, adilkah Najib jika membiarkan rakyat dalam DUN Kota Alam Shah tanpa wakil sepenuh masa? Jika pemimpin Hindraf lain boleh dibebaskan kenapa tidak Manoharan? Jika Manoharan memang seorang pesalah, hadapkan dia ke mahkamah! Kenapa liberalisme Najib terpilih-pilih?

Sekarang  Najib terjerat dalam retorik sendiri. Perlukah BN bertanding jika berlaku  pilihanraya kecil di Kota Alam Shah? Esok Biro Politik Umno akan bermesyuarat untuk menentukan sama ada akan meletakkan calon atau tidak di Penanti 23 Mei ini. Apakah pandangan biro berkenaan dengan perkembangan kes Manoharan nanti?

Tidak kiralah yang bakal bertanding di Kota Alam Shah nanti wakil MCA, Gerakan, atau MIC dan bukan dari Umno. Yang penting orang melihat ia adalah calon BN. Dan, Najib adalah pengerusi BN. Jika biro politik Umno memutuskan tidak mahu bertanding di Penanti, apakah di Kota Alam Shah pun BN tidak mahu bertanding?

Bagaimanapun jika Umno mahu bertanding di Penanti, dan BN di bawah pimpinan Najib juga memutuskan untuk bersaing di Kota Alam Shah dan nau’uzubillah, BN kalah kedua-duanya; bagaimanakah anggapan rakyat terhadap BN?

Senario ini bukan mustahil berlaku. Penanti adalah dalam kawasan parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu seteru politiknya – Anwar Ibrahim. Sementara Kota Alam Shah pula menyaksikan calon BN, Ching Su Chen dari Gerakan kalah dengan majoriti yang amat besar – 7,184 kepada Manoharan dalam pilihanraya umum tahun lalu. Itu pun Manoharan dalam tahanan, jika tidak majoriti itu mungkin lebih besar!

Tidak mustahil Umno dan BN di bawah Najib akan diaibkan lagi dalam kedua-dua pilihanraya kecil ini!

Jadi, apakah alasan yang hendak diberi jika dalam tempoh tiga bulan berturut Najib sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri kalah dalam pilihanraya Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti dan Kota Alam Shah?

Apakah perasaan ahli Umno dan komponen Barisan Nasional berpemimpinkan Najib? Maka tidak berasaskah persepsi yang mengatakan bahawa Najib naik menjadi Perdana Menteri dengan bagasi atau beban politik yang terlalu besar dan kotor? Maka sebab itu rakyat tetap menolak kepemimpinan BN yang diterajui oleh Najib!

Najib nampaknya tidak mempunyai banyak pilihan. Untuk keluar dari kemelut ini beliau boleh dengan tegas mengumumkan bahawa BN tidak mahu main politik ikut rentak pembangkang. Nampaknya pihak Pakatan Rakyat memang hendak meremehkan kewibawaan Najib dengan mengajaknya beradu kekuatan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil.

Oleh itu, Najib boleh bertegas tidak mahu layan politik begini. Beliau boleh umum tidak turut bertanding di Kota Alam Shah dan Penanti. Mudah-mudahan rakyat akan percaya dengan pegangan Najib ini. Bukankah sifu politiknya, Tun Mahathir Mohamad, yakin dengan teori propaganda Goebels – kepalsuan itu jika kerap diulang sebar akan diterima rakyat sebagai kebenaran! Ikut sahajalah  pedoman Mahaguru politik ini, tentu Najib selamat. Tambahan pula media arus perdana memang di bawah telunjuk Najib dan Barisan Nasional; gunakan sahajalah!

Atau, untuk lebih mudah; bebaskan sahaja Manoharan. Najib akan dilihat sebagai wira kebebasan bersuara. Najib juga boleh mengelak malu lebih besar jika kalah empat pilihanraya kecil dalam tiga bulan berturut-turut. Hanya Najib berkuasa menentukannnya. Jika pilihanraya kecil kota Alam Shah jadi diadakan, umur pemerintahan Najib baru lepas seratus hari...TVA 

Sultan Azlan Perkenan Bubar DUN Sebelum 7 Mei?

Dalam pada persiapan menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak mulai 7 Mei depan sedang rancak direncanakan oleh kerajaan kudeta Zambry, timbul pula desas desas di kalangan ahli politik Perak dan bisikan pihak istana bahawa Sultan Azlan Shah berkemungkinan besar akan memperkenankan permohonan Menteri Besar Pakatan Rakyat untuk membubarkan DUN sebelum pun DUN sempat bersidang.

Sumber-sumber memberitahu TV Antara, Sultan Perak akan terlebih dahulu memperkenankan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mengadap baginda bagi mempersembahkan permohonan pembubaran DUN dan dijangka baginda akan memperkenankan permintaan itu.

Kesimpulan ini dibuat memandangkan pergolakan politik Perak tidak mungkin reda dalam masa terdekat sejak Umno dan Barisan Nasional merampas kuasa daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang dipilih melalui 52 peratus jumlah undi yang diperolehi semasa Piliha Raya Umum ke 12 tahun lalu.

Datuk Seri sebelum ini telah menulis dua kali kepada Sultan Perak bagi memohon mengadap baginda untuk berbincang mengenai pembubaran DUN setelah Umno dan BN "menculik" tiga daripada Ahli Dewan Undangan Negerinya dan memaksa mereka menyokong kerajaan kudeta Zambry.

Walau bagaimanapun pihak istana sampai kini belum lagi memberi apa-apa jawapan terhadap permintaan mengadap yang dipohon oleh Datuk Seri Nizar.

Pertama kali beliau menghantar surat berhubung perkara tersebut ialah pada 11 Mach lalu bagi memohon menghadap Sultan Azlan Shah bagi menyembahkan tiga resolusi yang diluluskan ketika sidang tegempar di bawah pokok di Ipoh pada 3 Mach.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar, membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dan mengesahkan keputusan Speaker V. Sivakumar melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Susulan kepada surat pertama itu telah dihantar kepada istana sejurus sahaja Datuk Seri Nizar diisytiharkan menang pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang 7 April lalu. - TVA

Satu Pilihanraya Kecil Bakal Berlaku Lagi?

" Cerita-cerita kemungkinan berlaku satu pilihanraya kecil akan berlaku lagi bertiup kencang. Ini apabila ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan yang sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipercayai berkemungkinan untuk mengosongkan kerusi tersebut. Difahamkan peguam tersebut berasa kecewa kerana tidak dapat memberi khidmat kepada para pengundinya di DUN tersebut. Bebanan yang besar ditanggung oleh isterinya yang terpaksa menjadi wakilnya semasa ketiadaannya beliau sekarang.


steri M. Monaharan iaitu S.Pushpaneela terpaksa membahagikan masanya antara menjaga 4 anak-anak mereka, menjaga firma guamannya dan kawasan pilihanrayanya. M. Manoharan ditahan di bawah ISA pada 13 Disember 2007 bersama 4 lagi pemimpin Hindraf.Beliau merupakan penasihat undang-undang Hindraf, yang telah diharamkan oleh kerajaan.Manoharan bertanding atas tiket DAP di DUN Kota Alam Shah dalam pilihanraya umum tahun lalu, dan telah menewaskan calon BN dari Gerakan, Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.

UMNO BN telah berhempas pulas dan kehabisan keringat untuk menghadapi 5 pilihanraya kecil sebelum ini. Daripada 5 yang disertai oleh UMNO BN hanya 1 mereka menangi itupun di Batang Ai, Sarawak. Pada 31 Mei ini pilihanraya DUN Penanti akan diadakan. Teka teki samada UMNO BN ingin bertanding di DUN Penanti masih belum terjawab kerana pada perkiraan awalnya UMNO BN ingin memberi kemenangan percuma dan menyerah kalah kepada Pakatan Rakyat. UMNO BN hanya akan memberi keputusan selepas Biro politik Umno akan mengadakan mesyuarat Isnin ini sama ada parti itu akan bertanding atau tidak, di Penanti. Selepas ini UMNO BN akan lebih fobia untuk menyertai pilihanraya kecil dan akan berkira-kira untuk mengadakan Pilihanraya Umum ke 13 kerana hayat mereka makin hampir menemui penghujungnya.

http://addin77.blogspot.com/
"

Laluan makin sukar bagi MB Terengganu

" Dato' Ahmad Said yang dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu selepas Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasanya di negeri ini sejak awal lagi telah membayangkan bahawa beliau mungkin tidak lama menduduki kerusi panas itu.

Beliau membayangkan begitu kerana perlantikannya penuh dengan kontroversi dan menerima tentangan yang sangat hebat daripada penyokong-penyokong Dato' Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar Terengganu.

Walaupun beliau mendapat restu dari istana, tetapi majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BN tidak menyebelahi beliau, sehingga dilihat sangat sukar bagi beliau ketika hendak melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi membentuk kerajaan.

Setelah setahun berlalu, ternyata bahawa kebimbangan beliau itu ada asasnya. Para penyokong Idris rupanya tidak pernah berdiam diri dari merangka strategi untuk menjatuhkan Ahmad dari kedudukannya itu. Walaupun Idris sendiri membisu seribu bahasa sejak Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas lagi sehingga baru bersuara ketika timbul isu hangat baru-baru ini dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua baru-baru ini, tetapi rupa-rupanya secara diam-diam beliau merancang sesuatu bagi mencapai hasrat dan cita-citanya.

Begitu juga dengan orang kuat Idris, Dato' Rosol Wahid yang berperanan sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dalam DUN Terengganu. Kedudukannya sebagai Pengerusi BBC digunakan habis-habisan untuk mengikat semua anggota DUN dari BN bersama-sama beliau bagi menjatuhkan Menteri Besar.

Jika benar dakwaan Setiausaha BBC, Alias Abdullah yang juga ADUN Alur Limbat bahawa mereka mendapat sokongan dari 18 orang ADUN BN, maka kedudukan penyokong Idris sangat kukuh. Ini bermakna separuh (lima orang) dari Exco yang dilantik oleh Ahmad menyokong Idris.

Sekiranya berlaku usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dalam DUN, Ahmad boleh dijatuhkan dengan bilangan penyokong Idris itu. Kalaupun (katakan) semua ADUN PAS seramai lapan orang itu menyokong Ahmad, masih lagi tidak mampu dipertahankan.

Sebab itulah sebelum ini, sejak awal pemerintahannya, Ahmad mengambil pendekatan berlunak dengan PAS dengan harapan barangkali, ADUN PAS boleh menyelamatkannya dalam suasana ketika kemungkinan berlakunya undi tidak percaya itu. Lagi satu sebabnya ialah hampir semua ADUN BN tidak menyokongnya, maka beliau terpaksa beralih arah untuk berbaik-baik dengan ADUN PAS.

Misalnya, sebelum ini Ahmad sangat keras dan sentiasa tegang dengan Haji Mohd Abdul Wahid Endut (PAS - Wakaf Mempelam), tetapi sejak dilantik Menteri Besar ini, Abdul Wahidlah orang yang dilihat sangat rapat dengan beliau.

Sehingga kita lihat, Ahmad menjadi sasaran kemarahan penyokong BN apabila memberi kebenaran kepada PAS untuk menyewa kemudahan kerajaan bagi program PAS seperti yang berlaku di Kemaman dan Kuala Terengganu.

Kedudukan Ahmad dilihat lebih terancam apabila Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik mengetuai Perhubungan Umno Terengganu dalam penyusunan baru yang dibuat selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Walaupun Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, tetapi kedudukan itu hanya sekadar "ambil rasmi" sahaja kerana beliau adalah Menteri Besar.

Sudah tentu selepas ini, banyak tindakan beliau akan tersekat kerana beliau tidak bebas membuat apa-apa keputusan penting dalam pentadiran kerajaan negeri kerana terpaksa bergantung dan merujuk kepada Pengerusi Perhubungan. Ini berdasarkan konsep "parti menguasai kerajaan" yang diamalkan sekarang.

Maka sudah tentu orang akan melihat bahawa Ahmad adalah Menteri Besar yang tidak ada "power".

Dalam suasana gawat ini, mungkin beliau sudah diarah untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. Persoalannya, siapa pula yang akan dilantik menggantikannya? Siapa di kalangan ADUN BN yang akan mendapat perkenan dari DYMM Sultan? Walaupun ada diura-urakan beberapa nama yang akan dicalonkan, tetapi kita tidak pasti setakat mana kemampuannya dan akan diluluskan oleh istana.

Apakah pula dalam suasana ini, langkah terbaik dan "selamat" bagi Ahmad ialah memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN? Mungkin bagi beliau, daripada aku seorang yang jatuh, biar sama-sama jatuh.

Kalau ini yang jadi pilihan Ahmad, maka Terengganu pasti mendahului Perak bagi diadakan pilihan raya negeri.

Sumber:
http://ibnugharib.blogspot.com/
"

Isu DUN Perak: Bonus rakyat untuk PR

"7 Mei nanti khabarnya akan berlangsung sidang DUN Perak yang tertangguh hampir 6 bulan. MB haram Perak dalam sidang itu akan mengusulkan untuk memecat Speaker yang sedia ada dan diganti dengan orang lain.

Memang hebat 'drama' DUN Perak dengan episod yang cukup panjang dan insiden cukup tegang. Semuanya gara-gara Najib bersama Zahid Hamidi dengan segala usaha dan tipu daya mereka untuk merampas Perak dari kerajaan PR.

Sejak Najib jadi PM semua agendanya akan dilaksanakan mengikut skrip yang telah tersedia sekian lama. Sekadar masa pemisah cuma yang lain-lain telah diatur dengan kerjasama pihaknya yang 'dilarang tidur'.

Sama ada masih berdebar atau tidak menanti detik ketika episod Perak selanjutnya, seluruh rakyat akan tertumpu kesana. Mengimbau semula bagaimana terjadi peristiwa rampasan kuasa apabila "3 ekor + 1 ekor" punya angkara, menjadikan kerajaan Perak tenggelam punca.

Apapun yang telah terjadi dan bakal terjadi di Perak, rakyat Malaysia sebenarnya telah memberi bonus percuma kepada PR. Semuanya itu telah dapat dilihat dalam PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau, meskipun Umno/BN menafikan semua ini.

Menanti kedatangan 7 Mei akan melengkapkan lagi tambahan bonus rakyat kepada PR dalam menghadapi PRK Penanti. Melainkan dengan izin perkenan Sultan jika DUN Perak dibenarkan untuk bubar, rakyat pula mendapat bonus percuma. "