BONGKAR Kalau cinta sudah dibuang Jangan harap keadilan akan datang Kesedihan hanya tontonan..

Isnin, 3 Mei 2010

Tiga Saksi Utama Beri Keterangan Semula

SHAH ALAM 2 Mei - Tiga saksi dalam siasatan kes kematian remaja lelaki berumur 14 tahun, Aminulrasyid Amzah, akibat terkena tembakan polis Isnin lepas, dipanggil semula oleh polis untuk memberikan keterangan lanjut berhubung insiden itu.

Ketiga-tiga saksi itu ialah saksi utama yang merupakan rakan kepada Aminulrasyid yang berada bersama remaja itu ketika kejadian berlaku dan dua anggota keluarga remaja itu.

Mereka yang ditemani tiga orang peguam iaitu N. Surendran, Fadia Nadwa Fikri dan Farhana Abdul Halim tiba di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini kira-kira pukul 11.45 pagi tadi dan keluar pada kira-kira 1.10 tengah hari.

Ketika ditemui pemberita, Surendran berkata keterangan saksi utama telah direkodkan oleh DSP Nazri Zawawi manakala keterangan dua lagi saksi direkodkan oleh ASP Halim Ismail.

Katanya ketiga-tiga saksi dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjut atas arahan Peguam Negara, Jumaat lepas yang mahu siasatan lebih lengkap dijalankan berhubung insiden itu.

Katanya pihaknya dimaklumkan oleh polis mengenai perkara itu semalam tetapi meminta polis merakamkan keterangan ketiga-tiga saksi hari ini disebabkan rakan remaja itu masih berada dalam keadaan trauma.

Dalam kejadian pada 2 pagi Isnin lepas, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Seksyen 11 di sini. Rakan remaja itu sempat melarikan diri.

Satu panel khas yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Pelbagai pihak seperti Majlis Peguam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan polis dilaporkan mahu inkues dijalankan berhubung kes berkenaan.

Bernama

Rabu, 27 Januari 2010

Isu Perak: MB Zambry Serta Exconya Bagai Cacing Kepanasan Kerana Gusar Ir.Nizar Bubarkan DUN Jika Beliau Menang Di Mahkamah 9 Februari Ini !!


Keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah akan dibuat pada 9 Februari ini, Seluruh rakyat Perak hatta Malaysia sendiri kini tertumpu untuk mengetahui perkembangan terkini isu itu. Rakyat sudah bosan menyaksikan apa yang berlaku di depan mata mereka sekarang. Soalnya sekarang, apakah akan berlaku jika benar telahan semua pihak keputusan itu akhirnya berpihak kepada Datuk Seri Ir.Mohd Nizar Jamaluddin (foto)?. Ramai dikalangan pemimpin UMNO BN Perak yang tidak suka ini berlaku. Malah Exco Perak Hamidah Osman sendiri mengatakan bahawa satu penghinaan kepada institusi raja dan kehakiman bagi mereka yang membuat spekulasi bahawa mahkamah akan berpihak kepada Nizar dalam kes ini. Itu bukti jelas bahawa mereka amat takut jika MB Zambry Kadirtumbang pada kali ini. Jika dulu, Mahkamah Rayuan menidakkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Nizar adalah MB yang sah. Kini mereka amat gusar dengan keputusan yang akan dibuat itu sebenarnya. Zambry Kadir dan barisan exconya kini "tidur tak lena mandi tak basah" gara-gara menanti satu keputusan yang bakal menggugat kedudukannya sekarang ini. Apapun keputusan yang akan dibuat olehMahkamah Persekutuan, ternyata kini bahawa Zambry Kadir adalah"MB Haram" yang telah memerintah Negeri Perak tanpa amanat rakyat. Maka, atas undang-undang mana yang beliau gunakan untuk luluskanBajet Negeri yang mencecah billion ringgit itu agaknya.
Walhal beliau bukanlah MB Perak yang sah lagi sebenarnya. Mahkamah tertinggi negara belum memutuskan perkara ini, sewajarnya Zambry tidak boleh terkinja-kinja mengatakan BN menang di Perak dan beliau MB yang sah. Cara perlantikkan dan kemenangan yang cukup memalukan itu jelas sekali menipu rakyat. Hak rakyat untuk pilihanraya semua dinafikan atas berbagai alasan yang tidak munasabah. Walhal BN takut untuk berhadapan dengan suara rakyat itu sendiri sebenarnya. Mereka tahu, bahawa majoriti rakyat Perak tidak mahu lagi UMNO BN mentadbir negeri itu. Mereka mahu Pakatan Rakyat berkuasa kerana yakin dengan corak kepimpinan dan masa depan mereka. Sungguh memalukan, gara-gara terlalu kemaruk untuk berkuasa maka Zambry Kadir membelakangkan perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri. Mengaku beliau adalah MB yang sah, sedangkan keputusan mahkamah tertinggi masih belum dimuktamadkan. Rakyat juga amat terkejut, dalam keadaan MB Perak yang masih "tergantung" itu, pihak polis sanggup bertindak keras terhadap ADUN Pakatan Rakyat ketika Sidang Dewan Undangan Negeri di adakan sebelum ini. Akhirnya berlakulah berbagai peristiwa yang cukup memalukan negara di mata dunia seperti membenarkan pihak polis masuk ke dalam DUN, mengangkat dan mengheret speaker keluar dewan serta bertindak kejam terhadap ADUN Pakatan Rakyat hingga berlakunya Mesyuarat DUN di bawah pokok selepas itu. Semua ini adalah satu rentetan daripada penghinaan buat Kerajaan Negeri Perak itu sendiri. Anehnya suara rakyat terus dinafikan, sehingga ke hari ini. Dan kini, nampaknya keputusan yang sudah pasti cukup menggemparkan akan berlaku. Siapakah MB Perak yang sah akan diketahui 9 Februari ini. Jika Zambry menang, maka beliau akan terus kekal sebagai MB Perak. Namun, bayangkan jika Nizar menang?. Bukankah satu episod yang lebih memalukan akan berlaku di Perak selepas ini. Apapun sama-sama kita nantikan episod terakhir ini.
[Difahamkan Pakatan Rakyat telah mengarahkan jentera pilihanraya mereka bersiap sedia sekarang ini. Ini berikutan terdapat spekulasi Nizar akan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak sekiranya beliau menang dalam kes ini. Jika ini berlaku, sudah pasti ramai pemimpin UMNO BN akan bertambah terluka sebenarnya. Mereka amat takutkan suara rakyat, malahan mereka tahu rakyat akan menghakimi mereka selepas ini. Justeru itulah mereka tidak mahu suara menentukan siapakan MB dan kerajaan yang mentadbir Perak diserahkan kepada rakyat. Apa yang penting, sudah pasti ramai ADUN dan Exco Perak sedia ada sekarang ini bakal berputih mata sekiranya pilihanraya negeri diadakan semula. Kemungkinan besar Zambry dan Hamidah juga akan tumbang di kawasan mereka sendiri. Inilah yang amat ditakutkan sangat oleh puak mereka].

Kontroversi: Kes Liwat, Pihak Polis Cuba Kenakan Tindakan Terhadap Keluarga Anwar Bila Menyoal Siasat Isterinya Selepas Lebih Dari Dua Tahun !!


KUALA LUMPUR, 27 Jan [10.14 am] - Polis dilihat sebagai cuba mengenakan tekanan terhadap keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyoal siasat isterinya hari ini,lebih dua tahun selepas siasatan ke atas tuduhan liwat dijalankan. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (foto) yang juga Presiden Keadilan terpaksa memberi keterangan sebagai saksi kepada Penolong Penguasa Polis Lily Choo atas arahan pihak atasan polis. Tindakan polis itu mengejutkan dan menimbulkan pelbagai tanda-tanya kerana perbicaraan Anwar dijangka bermula pada minggu depan manakala siasatan telah siap dijalankan lama sebelum ini."Saya terkejut dan hairan kerana perbicaraan akan bermula seminggu lagi dan saya hanya dipanggil semula sekarang, dua tahun selepas siasatan diadakan," Azizah memberitahu pemberita. Anwar berkata tindakan polis itu jelas untuk memberi tekanan kepada keluarganya menjelang perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 1 Febuari ini.

Isnin, 25 Januari 2010

Istana: Tiada tindakan bagi yang tidak berkabung

Jan 25, 10 4:36pm
Pemakaian pakaian perkabungan di kalangan rakyat Johor berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat lalu, adalah secara sukarela dan tiada unsur paksaan, kata Setiausaha Jumaah
Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Sehubungan dengan itu beliau menafikan sekeras-kerasnya khabar-khabar angin yang mengatakan mereka yang tidak memakai pakaian perkabungan akan dikenakan tindakan seperti denda atau ditangkap.

"Baginda (Sultan Johor Sultan Ibrahim) telah meminta saya untuk menyatakan bahawa pemakaian perkabungan itu adalah secara tulus ikhlas daripada rakyat dan tiada sebarang unsur-unsur paksaan."

"Pemakaian perkabungan itu adalah untuk menunjukkan taat setia dan kasih sayang rakyat kepada (Almarhum) baginda dan adalah dilakukan secara tulus ikhlas," katanya pada persidangan akhbar di Johor Baharu, hari ini.

Beliau berkata, Sultan Ibrahim merasa terkilan dengan penyebaran
khabar-khabar angin itu kerana Tuanku amat prihatin kepada keadaan rakyatnya dan tidak mahu menimbulkan sebarang kesusahan kepada mereka.

Abdul Rahim berkata, penyebaran khabar-khabar angin itu bertujuan untuk memburuk-burukkan Sultan Johor.

"Ia tidak masuk akal dan tidak benar (dakwaan tentang tindakan terhadap mereka yang tidak memakai pakaian perkabungan)," katanya.

Beliau berkata pakaian perkabungan bagi lelaki Islam di Johor adalah songkok yang berlilit kain putih selebar 5.0sm manakala bagi wanita Islam pula adalah dengan memakai tudung putih.

Bagi rakyat Johor yang bukan beragama Islam pula menurutnya, mereka boleh mengenakan lilitan kain hitam selebar 7.62sm di lengan kiri atau memakai tali leher berwarna hitam.

Tempoh pemakaian perkabungan katanya, adalah selama tujuh hari bermula dari tarikh kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat lalu.

Abdul Rahim turut menjelaskan bahawa penutupan pusat-pusat hiburan di Johor dan pembatalan permainan adalah hanya pada hari pemakaman Almarhum Sultan Iskandar pada Sabtu lalu

- Bernama

Khamis, 1 Oktober 2009

Kesahihan MB Perak, Mahkamah Persekutuan dengar 5 Nov

Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada 5 November depan, kes pertikaian berhubung siapa menteri besar Perak yang sah.

Leong Cheok Keng, seorang daripada peguam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Bernama, firma itu telah menerima sepucuk surat bertarikh 3 September yang difakskan dari Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, memaklumkan mereka bahawa mahkamah itu telah menetapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohammad Nizar untuk rayuan selepas responden, Zambry melalui peguam belanya Datuk Cecil Abraham dan pencelah, kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membantah berhubung permohonan itu.

Pertikaian bagi jawatan Menteri Besar Perak Menteri bermula selepas tiga anggota dewan undangan negeri meninggalkan pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional pada Februari.

Mohammad Nizar, 52, kemudian memfailkan semakan kehakiman menuntut writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk tunjuk sebab berhubung atas asas apa atau hak beliau (Zambry) adalah Menteri Besar yang sah.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah tetapi keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Mohammad Nizar atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan Sultan, dan sebaik seorang menteri besar dilantik, beliau dan Ahli Majlis Mesyuaratnya hanya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah, adalah betul dalam melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas berpuas hati Zambry mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri Perak.

Peguam bela Sulaiman Abdullah adalah peguam utama bagi Mohammad Nizar.

ISA: Suaram gesa Dr M minta maaf pada rakyat M'sia

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyifatkan kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai tidak bertanggungjawab.

“Mantan perdana menteri nampaknya tidak menyedari realiti bahawa rakyat Malaysia menentang keras ISA dan mereka mahu ianya dihapuskan segera,” kata Penyelaras Suaram, Nalini E, dalam satu kenyataan hari ini..

“Ini telah dinyatakan dengan jelas kepada kerajaan apabila ribuan rakyat mengadakan perhimpunan pada 1 Ogos lalu menuntut supaya ISA dihapuskan.

“Kami ingin mengingatkan mantan perdana menteri itu bahawa gesaannya supaya ISA dikekalkan, sudah tidak lagi relevan dan rakyat Malaysia sudah sedar dan beliau tidak boleh memanipulasi realiti seperti ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu.

“Tidak ada ruang lagi bagi akta itu disemak atau dipinda. Sebaliknya, ISA seharusnya dimansuhkan tanpa lengah-lengah lagi. Mengamalkan tindakan menangkap dan menahan tanpa bicara mengikut undang-undang yang digubal untuk menangani darurut beberapa dekat yang lalu, hanya mengaibkan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Menurut Nalini, Suaram juga mengutuk justifikasi yang dibuat oleh Dr Mahathir mengenai sebab beliau menahan 107 orang di bawah ISA dalam “Operasi Lalang” pada 1987.

Tahanan tanpa bicara

mahathir mohamad 180108
Oleh itu, katanya, Suaram menggesa Dr Mahathir supaya memohon maaf kepada semua tahanan terbabit yang ditangkap dan ditahan di Kamunting tanpa bicara selama dua tahun.

“Menahan seseorang di bawah ISA yang membenarkan tahanan tanpa bicara, sama ada terhadap pemimpin pembangkang, Umno atau sesiapa sahaja, adalah tidak adil.

“Ianya bertentangan dengan deklarasi sejagat hak asasi manusia, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan juga kebebasan asas hak asasi manusia.

“Membuat kenyataan terbuka untuk menjustifikasikan penggunaan ISA yang melanggar hak ramai orang sewaktu “Operasi Lalang”, menunjukkan betapa kejam dan tidak bertamadunnya beliau sebagai seorang pemimpin. Sampai sekarang pun beliau tidak menghormati kedaulatan undang-undang,” dakwa Nalini.

Menurutnya, Suaram juga ingin menegaskan bahawa sejak penggubalan ISA pada 1960, kesemua perdana menteri telah menggunakan ISA untuk menutup mulut lawan politik Umno.

“Dr Mahathir adalah antara perdana menteri yang menggunakan ISA secara meluas terhadap rakyat Malaysia selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri.

“Beliau telah menahan lebih 2,000 orang di bawah ISA, termasuk bekas timbalan perdana menteri yang juga pemimpin pembangkang sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gesaan pada Najib

“Ini merupakan satu 'rekod prestasi' yang mengaibkan dan tidak seharusnya dibanggakan!,” kata Nalini

Sehingga saat ini, tambahnya, tahanan ISA terus tertakluk kepada tahanan tanpa bicara, deraan fizikal dan layanan buruk serta tanpa sebarang semakan yang berkesan terhadap kewajaran mereka ditahan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak sepatutnya mengikut jejak langkah bekas kesemua perdana menteri sebelumnya.

“Datuk Seri Najib seharusnya melangkah keluar dari kecenderungan kerajaan authoritarian sebelum ini dan menamatkan amalan menahan suspek tanpa bicara.

“Jika perdana menteri serius dengan slogannya, “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”, maka beliau hendaklah memansuhkan ISA dan membebaskan rakyat Malaysia daripada kekejaman ISA,” katanya.

Dua pemimpin Pemuda Umno diberkas terlibat dadah

Polis menahan dua orang pemimpin Pemuda Umnobahagian setelah disyaki mengambil dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Kijal, Terengganu malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Roslan Abdul Wahid berkata, kedua-duanya yang berumur 41 tahun itu, merupakan antara 74 orang yang diberkas dalam Ops Sepadu yang dijalankan oleh jabatan berkenaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kemaman.

"Seorang daripada mereka ditahan di ruang tamu di rumah tersebut pada pukul 9 malam, manakala seorang lagi ditahan bersama abangnya dalam sebuah bilik di rumah yang sama.

"Kita merampas satu tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin daripada seorang daripada mereka," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.

Seorang daripada mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis setelah kenyataan diambil manakala seorang lagi bersama abangnya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman sebelum dilepaskan dengan jaminan RM3,000 seorang.

Operasi itu dijalankan oleh 100 anggota dan pegawai dari cawangan narkotik di kawasan-kawasan panas di daerah Dungun dan Kemaman dalam usaha untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.