BONGKAR Kalau cinta sudah dibuang Jangan harap keadilan akan datang Kesedihan hanya tontonan..

Khamis, 18 Jun 2009

Siasat misteri pembuangan 14 KP

Pemuda PAS mendesak siasatan segera dijalankan berhubung penemuan 14 keping kad pengenalan lama di tempat pembuangan sampah di Tampoi seperti telah diadukan kepada polis 8 Jun lalu.

"Saya merasakan isu ini adalah isu besar. Bukan persoalan parti politik, PAS atau Umno atau sebagainya tetapi kita ingin membayangkan sekiranyanya kad pengenalan ini dikeluar dengan sewenang-wenangnya daripada Jabatan Pendaftaran, maka kebimbangan kita akan berlakulah isu keselamatan yang sangat besar kepada negara kita,” kata Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

umno old identity card found at garbage dump in tampoi 160609 02"(Ini) kerana kad pengenalan yang menjadi dokumen penting kemungkinan boleh dijual kepada sesiapapun termasuk kepada pendatang asing yang mungkin memberi kesan negatif kepada negara kita."

Beliau menambah, laporan polis itu dibuat exco Pemuda PAS Johor, Za'aba Ibrahim di balai polis Skudai dua hari selepas kad pengenalan itu ditemui.

Pemuda PAS mempertikaikan bagaimana kad pengenalan tersebut boleh berada di tempat pembuangan sampah sedangkan tiada kesan dokumen tersebut telah dilupuskan.

"Saya difahamkan kad pengenalan tersebut perlu dipotong atau ditunjukkan bukti bahawa ia dilupuskan," kata Khairul Faizi, yang dilantik penolong setiausaha Dewan Pemuda PAS hari ini, dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

"Tetapi keaadaan kad pengenalan ini sangat cantik keadaannya, tidak ada ciri-ciri ia dilupuskan."

Selain mengedarkan salinan laporan polis Za'aba, beliau turut melampirkan salinan fotokopi gambar-gambar tempat kad pengenalan itu ditemui.

Menurut polis tersebut, selain kad-kad pengenalan, turut ditemui sekeping lesen memandu yang tamat tempoh, sekeping kad pegawai mesyuarat pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan, sekeping kad kursus jentera pilihanraya Umno dan lima keping kad perwakilan parti tersebut.

Khairul Faizi berkata, sekiranya tiada tindakan susulan, Pemuda PAS akan mengambil tindakan selanjutnya termasuk membawa perkara ini ke sidang Parlimen.

Permohonan Umno ketepi saman RM218 juta didengar 30 Julai

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 30 Julai sebagai tarikh untuk mendengar permohonan Umno bagi mengenepikan saman RM218 juta yang difailkan oleh syarikat pembekal barang-barang untuk pilihanraya.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Aziati Jaafar dalam kamarnya hari ini dan permohonan itu akan didengar oleh Hakim Datuk Azhar Mohamed.

Pada 23 Jun tahun lalu, syarikat Elegant Advisory Sdn Bhd menfail saman itu menerusi Tetuan Termizi & Co, dan menamakan bendahari ketika itu Umno Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi serta Umno sebagai defendan, lapor Bernama.

Dalam writ samannya syarikat itu menjelaskan bahawa ia membekalkan peralatan pilihanraya, pengangkutan dan penerbitan kepada Umno untuk pilihanraya ke-11pada 2004 setelah diminta oleh Abdul Azim.

Elegant Advisory mendakwa oleh kerana Abdul Azim meminta bekalan yang banyak dan permohonan dibuat dalam jangka masa singkat, syarikat itu melantik pihak ketiga (syarikat-syarikat percetakan dan pembekal lain) untuk menyediakan barangan tersebut pada masa yang ditetapkan, dan Abdul Azim tahu mengenainya.

Syarikat itu kemudiannya mengemukakan invois RM218,013,475 kepada Abdul Azim untuk pembayaran, dan pada 22 Mei 2004, satu surat dihantar kepadanya tetapi pembayaran masih tidak dibuat.

Pada 17 Julai tahun lalu, defendan diperintah oleh Mahkamah Tinggi membayar Elegant Advisory RM218 juta, serta kos dan faedah selepas defendan gagal menjawab saman.

Bagaimanapun pada 21 Januari lalu Umno berjaya mengetepikan keputusan mahkamah yang dibuat tanpa kehadirannya itu.

Elegant Advisory diwakili oleh peguam Nazruddin Abdullah, manakala Datuk Hafarizam Harun bertindak sebagai peguam defendan.

K'tan tuntut royalti minyak RM1 bilion

Kerajaan negeri Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini bersetuju supaya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Katanya, menurut laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion, lapor Bernama.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco hari ini, Husam berkata, Kelantan mula menjadi negeri pengeluar minyak sejak 2004 dan sepatutnya mendapat royalti sepertimana negeri pengeluar minyak yang lain iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Menurutnya, adalah satu perkara yang sangat memalukan jika kerajaan pusat tidak dapat membayar wang royalti itu lebih-lebih lagi kerajaan pusat kini memperkenalkan konsep 1Malaysia, yang mengutamakan rakyat.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail berkata pakatan pembangkang akan memainkan isu royalti minyak itu dalam kempen pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

"Sekiranya negeri-negeri yang lain ini mendapat royalti petroleum, mengapa tidak Kelantan...sekiranya Najib benar-benar ikhlas, saya cadangkan beliau membayar kembali royalti petroleum hak Kelantan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.