BONGKAR Kalau cinta sudah dibuang Jangan harap keadilan akan datang Kesedihan hanya tontonan..

Sabtu, 22 Ogos 2009

ISA: Semakin kuat semakin yakin

Oleh Ismail Hassan

(Dari kanan) Nahdia, Ustazah Nuridah, Hajah Hamidah, Nussaibah, (berdiri dari kiri) Mohd Hafiz, Soddiqa dan Juwairiya.

KUALA LUMPUR, Ogos 19 —Nahdiah Ariffin, 28, adalah antara yang ditahan pada hari demonstrasi Mansuhkan ISA, 1 Ogos lalu.

Sewaktu ditahan, Nahdiah tidak keseorangan. Bersama ibu, Hajah Hamidah Karim, 52, dan adik-adik Nahdiah; Nussaibah, 26; Soddiqa, 24; Mohd Hafiz Abdul Hamid, 24 (suami Soddiqa); Khadijah, 22, dan anak angkatnya Juwairiya Zulkifli, 24, turut “terbabit” dengan penangkapan itu. Ikuti pengalaman Nahdiah sepanjang bergelar “tahanan” seperti diceritakan kepada penulis.


URUSAN BESAR

Ibu seperti biasa dengan penuh semangat mengajak kami untuk menyertai demonstrasi Mansuhkan ISA yang sudah dirancang GMI itu. Tegas ibu, jika perkara itu boleh berlaku pada orang lain, tidak mustahil berlaku pada keluarga sendiri.

Siapa yang tidak tahu tentang ISA. Akta kejam yang boleh menahan sesiapa saja tanpa dibicarakan. Dalam dekad moden ini, Mat Sah Satray menjadi ISA tahanan paling lama.

Kami menjalin hubungan yang rapat dengan isteri Mat Sah, Puan Norlaila Othman. Begitu juga dengan aktivis anti ISA seperti Nashita Md Noor dan Aiman Athirah. Kerana itulah timbul rasa kebersamaan yang tinggi dalam jiwa dan mendalam di sanubari.

Ibu seperti biasa, memberikan perhatian mendalam terhadap apa-apa sahaja isu semasa yang berlaku di seputar diri. Meskipun beliau sendiri memerlukan perhatian kepada kerjayanya sebagai pengasas dan penggerak komuniti tempat beliau tinggal di Kedah dan kini di ibu kota.

Untuk rekod, ibu seorang pengusaha tadika yang memiliki 10 sekolah di Sungai Petani, Kedah.

Anak-anaknya terdiri daripada saya sendiri, ahli farmasi dan adik-adik saya penyelia taska, jurutera, aktivis NGO dan pelajar IPTA serta penyelidik parti; semuanya di Lembah Kelang.

Saya, ibu dan adik-adik tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam GMI waima mana-mana parti politik sekalipun. Kami semua sudah bekerja dan memiliki keluarga sendiri. Kami boleh tinggal selesa di kediaman masing-masing. Namun jiwa tidak betah berbuat demikian jika di luar sana ada insan lain yang menderita.

Kami merasakan inilah kemuncak kepada apa yang dipelajari dan amalkan selama ini; semuanya itu perlu dihayati di peringkat yang lebih tinggi dengan melihat alam persekitaran yang memerlukan dukungan melebihi sokongan dari jauh sahaja.

Kecuali Khadijah dan Juwairiya, yang lain semuanya mempunyai anak-anak yang masih kecil antara lima bulan hingga empat tahun. Lantaran urusan besar ini, dua anak saya, seorang anak Nussaibah dan seorang anak Soddiqa dititipkan di rumah saudara suami saya, Urwah Saari.

Norlaila sedang berkata sesuatu tentang hak seorang rakyat kepada anggota polis wanita.

BILA EMOSI MULA MENGUASAI

Saya dan keluarga mula terus bergerak berhampiran Kompleks Daya Bumi. Tiba-tiba datang seorang anggota berpakaian seragam wanita. Dari kata-katanya, beliau hendak menahan adik ipar saya, Mohd Hafiz. Kami membantah.

“Apa salah dia, kenapa dia mesti ditahan,” saya menyoal. Ibu mula masuk campur. Berlaku sedikit pertengkaran.

Bermula dari itu, mereka berkeras. Kemudian semakin ramai anggota berbaju biru tua mengelilingi kami.

Hafiz dikasari. Ibu ke hadapan. Entah bagaimana berlaku sedikit pergelutan. Ibu tidak mahu mengalah. Mereka jadi emosi.

“Kamu menghalang tugas-tugas polis,” salah seorang bersuara dengan kasar.

Akhirnya Hafiz dan ibu ditahan. Dipaksa naik ke dalam kenderaan besar kepunyaan mereka.

Melihat dua anggota keluarga kami “disumbat” ke dalam perut kenderaan kaku itu, kami tidak berlengah. Semua sepakat untuk sama-sama ditahan.

“Apa nak jadi, biarlah kita sama-sama hadapi,” itu tekad kami.

Kami diperap di dalam kenderaan itu selama satu jam. Lama juga rasanya. Di Daya Bumi kemudian satu jam lagi di Balai Polis Dang Wangi.

Saya tidak duduk diam. Sebaliknya sempat mengambil gambar “senario indah” di dalam trak sebagai bukti pengalaman paling manis ini.

“Kuatkan pegangan dan keyakinan kami”

Saya bukan di perut pesawat terbang. Kenderaan yang saya naiki ini tiada kerusi empuk siap penyandar. Tiada hawa dingin penyejuk badan. Apa yang tersedia cuma bangku besi penggalas punggung dan pintu berjaring menghalang penumpang “terjun”.

Dalam sejarah hidup, inilah pertama kali saya “diberi peluang” menaiki trak polis berdinding, berlantai dan berbumbung besi ini.

Saya mengangkat kedua-dua belah tangan ke paras dada. Tapak tangan saya buka. Menadah doa. Bersungguh-sungguh.

Saya memohon pada-Nya moga Dia memelihara keselamatan demonstran Mansuhkan ISA baik yang sudah ditahan atau masih ada di jalanan. Moga Dia kuatkan pegangan dan keyakinan kami semua...

Takut? Sekelumit pun tidak!

Mungkin kerana saya tidak keseorangan, berteman ibu, abang ipar juga adik-beradik yang lain, lalu perasaan takut tidak berani hadir. Bukan saya seorang, malah kami tujuh sekeluarga sama. Jiwa kami stabil.

Mana hala tuju trak ini? Entahlah... sesekali terasa bagai sedang dibawa bersiar-siar. Pusing-pusing ibu kota.

Kami sungguh tidak tahu ke mana kami akan dibawa. Walau kami ramai, umpama berada di dalam bas rombongan untuk ke satu destinasi, namun tidak seorang pun daripada kami tahu ke mana kenderaan ini menuju.

Saya berdoa lagi. Memohon Tuhan memudahkan segala apa yang kami sedang dan bakal tempuh sepanjang ditahan.

Apa pun keyakinan saya kuat. Kami sekeluarga tidak bersalah. Kami ditangkap pada jam 1.30 petang. Sedangkan demonstrasi yang kononnya dikatakan haram itu bermula jam dua petang.

Waktu itu saya dan keluarga sedang mencari-cari tempat yang sesuai untuk menunaikan kewajipan agama. Antara Masjid Negara dan Pasar Seni, di situlah kami ditahan. Justeru kerana apa kami ditahan? Adakah salah mencari tempat untuk bersolat dalam sebuah negara Islam?


DI BALAI FRU CHERAS

Kami dibawa ke Balai FRU Cheras. Di sinilah lokasi awal ditempatkan sekitar 600 demonstran. Peserta wanita tidak ramai. Namun demikian, suasana lebih dikuasai oleh wanita sebab dalam kalangan kami adalah Puan Norlaila, Nashita dan Aiman.

Mereka berpengalaman di dalam hal-hal seumpama ini. Mereka tahu apa yang perlu dibuat dan tidak. Lantaran mereka memberikan ceramah undang-undang kepada kami semua. Supaya kami bersedia dan tidak diperkotak-katikkan sesiapa.

Kawasan tahanan umpama lokasi pesta. Ada yang membaca sajak perjuangan. Namun akhirnya dihalang oleh seorang berpakaian seragam.

Di dalam suasana begitu, meski demo hajat berarak ke Istana Negara tidak kesampaian, kami dalam jumlah ratusan orang, “berdemo” juga di dalam kawasan balai berkenaan.

Berbagai-bagai slogan kami jeritkan sepenuh hati. Mansuh mansuh, mansuh ISA, hidup-hidup hidup rakyat…!

Itulah antara perkataan keramat yang kami laungkan. Biar semua mereka tahu apa yang kami mahu. Bukan untuk saja-saja kacau keadaan. Tapi tuntutan mansuhkan ISA; satu akta zalim negara yang menahan lebih 15 ribu rakyat tanpa bicara sejak diperkenalkan pada 1960.

Satu ketika, semua sekitar 600 orang yang ditahan yang sebelum itu hanya duduk-duduk, tiba-tiba bangun serentak dan berteriak.

“Jangan ganggu Muslimat kami...”

Keadaan ini berlaku bila mana kami kaum wanita ditarik, direntap dan dipaksa naik ke dalam trak untuk dibawa lagi. Entah ke mana...

Sekali lagi suasana jadi gamat. Semua bangun sambil menadah tangan. Seorang di antara mereka berdoa dengan suara tinggi dan kuat. Laungan “Amin, Amin, Amin…” bergema.


DI PUSAT TAHANAN SEMENTARA BUKIT JALIL

Malam kami di sini berlangsung dalam satu keadaan sangat hebat. Ada yang tidak dapat tidur walau sekelip. Tempat ini memang asing bagi kami. Dengan bilik berkeluasan enam kaki cuma, tidak mungkin kami dapat nyenyak lama.

Cara kami tidur pun berselang kaki dengan kepala antara satu sama lain. Bayangkan 15 orang di dalam bilik seluas enam kaki. Inilah antara habuan perlu kami bayar kerana ingin sebuah negara tanpa undang-undang zalim yang menahan rakyat tanpa bicara.

Namun begitu, ada yang sudah bangun untuk mendirikan solat tahajud. Alunan indah ayat-ayat dari kalam Allah juga kedengaran dilantunkan tahanan sementara.

Selepas menunaikan solat Subuh, kami membaca al-Maksurat. Mendengar kuliah Tafsir al-Quran. Bernasyid dengan berbagai lagu dan irama. Merdu dan asyik. Boleh dialbumkan sebagai rintihan pejuang di tahanan.

Di antara kami, ada yang baharu kali pertama bertemu. Namun apa yang kami faham dan lagukan adalah sama. Rupanya mempunyai silibus pengajian usrah yang serupa meskipun lokasi kami berbeza.

Di “penjara” sementara ini, kami masih diberi makan. Syukur kepada-Mu Tuhan kerana menyuntik “ihsan” di hati mereka. Lalu kami tidak dibiarkan kebuluran.

Nasi yang dihidang kepada kami dibasahi kuah berwarna perang. Seperti kari. Namun tiada rasa.

Kami mencampurkan sedikit garam ke dalamnya. Garam yang kami bawa sebagai bekalan demo yang tidak sempat kami gunakan.

Rasanya berubah. Enak bila ia menyentuh tekak.

Keluar dengan semangat lebih memuncak

Sebaik keluar dari tahanan, kami terus memanjangkan rasa syukur. Syukur kerana kembali bebas. Tidak lagi berada di ruang sempit berasak-asak.

Terapi paling bersyukur adalah kerana Tuhan telah memberi kami peluang menempuh pengalaman menjadi tahanan.

Apa yang kami lalui sepanjang ditahan sesungguhnya membuah dan menghasilkan satu tahap keberanian yang tinggi. Memuncak.

Kami seperti sudah tidak sabar lagi. Mahu terus menyertai demonstrasi yang bertujuan memperbetulkan sesuatu yang salah. Semangat kami untuk memastikan manusia tidak dizalami dengan undang-undang tidak berasas semakin menjulang.

Kami juga mahu seluruh rakyat Malaysia sama-sama bangun. Mendesak ke arah sama. Memansuh dan menghancur luluhkan ISA setotalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Post a comment