Tiada sebarang dakwaan akan dikenakan terhadap lima peguam dan 14 orang lagi yang ditahan pada 7 Mei lalu kerana didakwa menyertai perhimpunan haram, demikian menurut polis hari ini.
Mereka dimaklumkan mengenai perkara itu ketika hadir melapor diri di balai polis Brickfields pagi ini.
Lima peguam tersebut ditahan ketika cuba memberi bantuan guaman kepada 14 orang tersebut, yang ditahan sewaktu menyertai nyalaan lilin sebagai tanda sokongan terhadap aktivis Bersih, Wong Chun Huat yang ditahan di bawah Akta Hasutan.
Pagi ini, peguam terbabit -kecuali seorang daripada mereka yang mengendali kes di Shah Alam - tiba di balai polis berkenaan pada kira-kira jam 10.10 pagi.
Mereka ditemani peguam masing-masing yang terdiri daripada Latheefa Koya, N Surendran dan Lim Chee Wei.
Kira-kira 20 orang peguam turut hadir untuk memberi sokongan.
Turut hadir ialah 20 orang awam, termasuk 14 orang yang ditahan pada yang hari sama dengan peguam terbabit.
Bagaimanapun, mereka dimaklumkan bahawa mereka tidak akan didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Akta Polis.
Ketua balai polis Brickfields Wan Bari Wan Abdul Khalid memberitahu media bahawa beliau terkejut melihat kehadiran peguam dan 14 orang terbabit di balai polis hari ini, kerana mereka telah dimaklum mengenai keputusan tersebut semalam.
Menurutnya, pihak polis telah memaklumkan keputusan itu kepada peguam M Puravalen yang mewakili mereka yang ditahan.
Kesemua mereka dibebaskan selepas ditahan semalaman di lokap sehingga mencetuskan bantahan keras daripada masyarakat peguam.
Berikutan itu, Majlis Peguam yang mewakili lebih 13,000 peguam di Semenanjung Malaysia, menuntut supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan.
Lima peguam yang ditahan itu ialah Fadiah Nadwa Fikri, Syuhaini Safwan, Puspawati Rosman, Ravinder Singh dan Murnie Hidayah Anuar..





Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Post a comment